IPOH, 20 DIS - Bebeberapa batang sungai di Perak semakin cetek dan akan hilang sekiranya langkah segera tidak diambil bagi mendalamkan paras air di sungai berkenaan.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata sekiranya masalah itu tidak ditangani negeri ini akan berdepan dengan masalah sumber bekalan air kerana Sungai Perrak terutamanya merupakan sumber bekalan air negeri.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan persekutuan dapat membantu kerajaan negeri ini mengatasi masalah tersebut terutamanya melaksanakan kerja-kerja mendalamkan sungai.

"Jika kerja-kerja untuk mendalamkan sungai tidak dilaksanakan dengan segera tidak mustahil beberapa sungai di negeri ini akan 'hilang'," katanya ketika berucap pada Majlis Makan Malam Persidangan Tahunan Jawatankuasa Tindakan Jurutera Air Daerah Se-Malaysia ke-30 di sini, Selasa malam.

Persidangan selama tiga hari itu yang bermula semalam disertai 141 delegasi daripada Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air; Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara; Pengurusan Aset Air Berhad serta syarikat bekalan air dari Sabah dan Sarawak.

Sementara itu, Pengurus Besar Lembaga Air Perak Datuk Mohd Yusof Mohd Isa berkata isu yang sering dihadapi oleh semua operator ialah pembiayaan bagi membangunkan infrastruktur air termasuk penggantian paip melebihi jangka hayat.

Katanya ia merupakan satu daripada faktor menyebabkan masalah kadar kehilangan air tak berhasil (NRW) di negara ini berada pada tahap yang tinggi iaitu kira-kira 36 peratus. - BERNAMA