MELAKA, 19 DIS - Seorang pemandu bersama penumpangnya rentung setelah kereta yang dinaiki terbakar apabila terbabit dalam kemalangan dengan sebuah lori di Kilometer 205.5 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, di sini, malam tadi.

Komander Operasi Kanan, Penolong Kanan Penguasa Bomba negeri Mohd Khushairy Deraman berkata pemandu dan penumpang tersebut ditemukan tersepit di dalam kereta berkenaan.

"Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, kereta Proton Wira yang dinaiki kedua-dua mangsa tersepit di bawah lori yang membawa muatan 15 tan hampas soya dari Pelabuhan Klang menuju ke Pasir Gudang, Johor," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sebuah jentera dan 'water tanker' dengan kekuatan tujuh anggota bomba terlibat dalam operasi tersebut dan mayat pertama dikeluarkan pada 2.50 pagi manakala seorang lagi 3.22 pagi sebelum operasi menyelamat ditamatkan.

Beliau berkata identiti dan jantina kedua-dua mangsa belum dapat dikenal pasti berikutan keadaan mayat yang rentung dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Alor Gajah untuk dibedah siasat. - BERNAMA