KUALA LUMPUR, 9 DIS - Kerajaan bersetuju menubuhkan Majlis Tindakan Sara Hidup Negara bagi membantu mengurangkan bebanan rakyat dalam berhadapan dengan kos sara hidup, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga Presiden UMNO memberi kelulusan penubuhan majlis itu, yang dicadangkan wakil Pemuda UMNO Jamawi Jaafar pada Perhimpunan Agung UMNO 2017.

"Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Pengerusi Jawatankuasa Kos Sara Hidup bukan sahaja bersetuju, bahkan mengarahkan saya supaya setiap faktor yang menyumbang kepada inflasi seperti perumahan, pengangkutan, utiliti dan sudah tentu makanan dan minuman diberi fokus dalam perbincangan majlis tersebut," katanya.

Hamzah yang juga Anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata demikian ketika menggulung perbahasan usul pada hari terakhir perhimpunan itu di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ketika membahas usul ekonomi semalam, Jamawi yang merupakan Ketua Penerangan Pemuda UMNO mencadangkan supaya majlis berkenaan ditubuhkan bagi membantu mengatasi masalah kos sara hidup, orang tengah dan sabotaj ekonomi negara.

Hamzah berkata Najib, yang memahami keperluan rakyat, turut bersetuju mewujudkan Program Jualan Rakyat di seluruh negara untuk membantu mereka mendapatkan barangan pada harga lebih murah daripada harga pasaran.

Beliau berkata program itu akan dilaksanakan melalui bahagian-bahagian UMNO di seluruh negara.

"Kita akan sama-sama turun melakukan program ini pada tiap-tiap bulan supaya rakyat dapat menikmati segala apa yang diperjuangkan oleh kita," katanya.

Hamzah berkata KPDNKK melalui Perbadanan Nasional Berhad (PNS) akan membuka sebanyak mungkin Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) 2.0, yang akan dilancarkan tidak lama lagi.

"Kita akan berikan peluang perniagaan kepada usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) bumiputera menerusi model bisnes baharu ini, sekali gus memberi ruang serta peluang kepada IKS untuk membekalkan produk mereka melalui KR1M 2.0," katanya.

Menurutnya kerajaan melalui Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani juga akan melaksanakan pelbagai program bagi menjamin bekalan makanan yang konsisten dengan harga kompetitif bagi mengurangkan beban rakyat.

Antara program itu ialah jualan ikan segar beku (Q\'Fish), Stok Bekalan Makanan Negara, jualan ikan segar, pengukuhan bekalan ladang kontrak serta pertanian bandar. - BERNAMA