KUALA NERUS, 9 DIS - Kerjasama antara agensi berjaya membangunkan golongan peniaga dan usahawan khususnya yang bernaung di bawah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

Penolong Pengarah Kanan SKM Terengganu, Mohd Solehin Ramli @ Yusof berkata, dengan produk koperasi yang berdaya saing, pihaknya bersedia untuk mengadakan promosi jualan ke seluruh tapak Pasar Tani FAMA di negeri ini dengan lebih kerap pada tahun depan.

"Sebelum ini, kami mengadakan tiga kali mini karnival jualan produk melibatkan 10 usahawan koperasi sekitar daerah Kuala Terengganu dengan pelbagai jenis makanan, buah-buahan, sayur-sayuran serta menyediakan perkhidmatan urut kaki (refleksologi).

Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas majlis pelancaran promosi jualan produk koperasi di tapak Pasar Tani Padang Hiliran di sini hari ini.

Mohd Solehin berkata ini kerana permintaan untuk menyertai program berkenaan agak tinggi dan terpaksa membuat tapisan bagi memastikan koperasi yang terbaik dan berdaya saing sahaja ditampilkan dalam program berkenaan.

Sementara itu Penyelaras Pasar Tani FAMA Terengganu, Hilmi Hamzah menyarankan agar SKM mengadakan program seumpama itu ke seluruh pasar tani di negeri ini pada masa akan datang.

Katanya, FAMA sentiasa menyokong dan akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan usahawan tempatan terus mendapat tempat.

"Kami sentiasa terbuka dan mengalu-alukan usahawan SKM menyertai Pasar Tani yang menjadi tumpuan dan mendapat sambutan hebat daripada pengguna," katanya. - BERNAMA