MELAKA, 9 DIS - Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) segera mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan bagi menghalang cadangan Amerika Syarikat menjadikan Baitulmuqaddis sebagai ibu kota negara Israel.

Presiden DMDI Tan Sri Mohd Ali Rustam berkata pihaknya akan membawa bantahan dan membincangkan isu tersebut pada konvensyen DMDI yang akan berlangsung di Medan, Indonesia pada 13 Dis hingga 15 Dis ini.

Ketika dihubungi Bernama hari ini, Ali yang juga bekas Ketua Menteri Melaka, berkata tindakan Amerika Syarikat itu melanggar hak asasi manusia dan melanggar sistem demokrasi yang bakal menyebabkan penderitaan serta penganiayaan yang lebih besar kepada rakyat Palestin.

"Ia juga boleh menyebabkan permusuhan dan pergolakan yang berterusan antara Palestin dan Israel serta negara Timur Tengah dan seterusnya menjadi punca kepada konflik seluruh dunia antara negara Islam dan negara bukan Islam, yang mana kita tahu, Israel masih menduduki kawasan Palestin secara haram," katanya.

Beliau berkata DMDI menyokong penuh pendirian Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang turut membantah hasrat presiden Amerika Syarikat itu dan mengajak dunia bersatu bagi menggagalkan usaha itu.

Presiden Donald Trump mengumumkan pada Rabu bahawa Amerika Syarikat mengiktiraf Baitulmuqaddis sebagai ibu negara Israel dan akan memindahkan kedutaannya dari Tel Aviv ke Baitulmuqaddis tidak lama lagi, suatu tindakan yang menimbulkan kebimbangan serta kemarahan masyarakat dunia kerana ia boleh dianggap sebagai tindakan pencerobohan terhadap hak asasi kemanusiaan. - BERNAMA