KUALA TERENGGANU, 5 DIS - Jumlah mangsa banjir di Terengganu hanya berbaki 172 orang daripada 46 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 236 orang daripada 60 keluarga pada 8 malam tadi.

Mengikut laporan portal Info Banjir, hanya dua pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi iaitu di Kuala Nerus dan Marang.

Jumlah mangsa terus menurun kepada 150 orang (38 keluarga) di Kuala Nerus berbanding 214 orang (52 keluarga) yang ditempatkan di Sekolah Kebangsaan (SK) Kompleks Gong Badak malam tadi.

Di Marang pula, jumlah mangsa banjir kekal 22 orang (lapan keluarga) masih berada di SK Pasir Putih. - BERNAMA