AMPANG, 30 NOV - Hakim Mahkamah Sesyen/Majistret Ampang, Tuan Mohamad Firdaus Sadina Ali hari ini menetapkan tarikh 24 - 25 Januari 2018 untuk perbicaraan kes rusuhan di Pusat Membeli Belah Ampang Point diantara Kumpulan Merah V2 dan Bersih 5.

Menurut Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos, Mereka akan cuba menyelesaikan perkara tersebut dengan secepat yang mungkin walaupun pihak mahkamah beberapa kali menangguhkan kes perbicaraan berkenaan.

" Saya tetap dengan pendirian saya bahawa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana pihak Bersih 5 yang telah memulakan provokasi berkenaan sehingga tercetusnya perselisihan faham di pusat membeli belah terbabit," kata Jamal.

Terdahulu, Jamal dan 7 individu yang lain didakwa di Mahkamah berikutan tercetusnya kekecohan di Pusat Membeli Belah berkenaan yang membabitkan kumpulan 'Baju Merah' dan kumpulan 'Baju Kuning' dalam siri Jelajah Bersih 5 pada 13 November 2016 yang lalu.

Berlaku sedikit kekecohan apabila Jamal ingin meminta penjelasan daripada Ahli Parlimen Ampang, YB Zuraida Kamaruddin berhubung Pengedaran Risalah siri Jelajah Bersih 5 yang menghasut rakyat untuk menjatuhkan kerajaan sedia ada supaya rakyat turun berdemonstrasi pada 19 November 2016.

Kedua-dua kumpulan membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan tetapi hanya Kumpulan Baju Merah sahaja didakwa dibawah Sesyen 147 kanun keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. - KITAIKINI