KUALA LUMPUR, 29 NOV - Cawangan Baru 'Makan Tengahari Percuma' yang dianjurkan oleh Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Yunos bakal dibuka di Dun Bukit Antarabangsa tidak lama lagi.

Jamal memberitahu, Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia/Restoran Jamuan Rakyat yang bakal dibuka berkenaan adalah cawangan yang ketiga.

Cawangan pertama Restoran berkenaan berada di Jalan Pahang, Kuala Lumpur, Cawangan kedua pula berada di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Sekinchan, Selangor dan yang ketiga ini kawasannya akan diumumkam tidak lama lagi.

" Kawasan yang ketiga ini akan menjadi tumpuan kerana kawasan terbabit adalah kawasan Menteri Besar Selangor kini iaitu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali," kata Jamal.

" Dengan sokongan yang berterusan oleh rakyat terhadap program ini, saya bertekad untuk menambahkan lagi cawangan di kawasan tersebut," kata Jamal lagi.

Jamal turut menggalakkan rakan-rakan NGO nya yang lain supaya mengikuti konsep yang dilakukan olehnya kerana perkara berkenaan dapat menjimatkan kos perbelanjaan sara hidup rakyat serta dapat membantu kepada golongan yang memerlukan.

" Saya tidak mampu untuk buat keseluruhannya, saya hanya sekadar buat apa yang termampu, jika rakan-rakan yang lain ingin mengikuti konsep sebegini, saya mengalu-alukan," kata Jamal lagi.

Semalam, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membuat kejutan dengan turun padang melihat sendiri suasana di program 'Makan Tengahari Percuma' di restoran yang dianjurkan oleh Jamal di Jalan Pahang itu.

PM turut berpuas hati dengan usaha yang dilakukan oleh Jamal dan berharap supaya program-program ini dapat diteruskan serta dibuka di kawasan-kawasan yang lain. - KITAIKINI