KUALA LUMPUR, 28 NOV - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak hari ini hadir di Restoran Gabungan NGO 1 Malaysia, Jalan Pahang Kuala Lumpur untuk bersama rakyat menikmati hidangan 'Makan Tengahari Percuma' yang telah dianjurkan oleh Gabungan NGO Malaysia.

Dalam pada itu, Najib memberikan pujian kepada pihak penganjur terutamanya kepada Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mengusahakan program ini untuk menjimatkan kos perbelanjaan rakyat.

Menurut Najib, Program yang telah dianjurkan ini adalah program yang amat baik sekali dan memberikan kesan yang mendalam kepada tetamu yang pernah mengunjungi dan menikmati juadah yang disediakan.

" Rakyat yang pernah menikmati juadah disini memuji langkah ini sebab mereka dapat makan dengan keadaan yang selesa secara percuma dan dalam sebulan mereka dapat berjimat dan tidak mengeluarkan duit poket untuk makan tengahari apabila mereka menggunakan kemudahan yang ada disini," kata Najib.

" Jadi saya mengucapkan Tahniah kepada Datuk Seri Jamal kerana telah mengusahakan program ini, mudah - mudahan kita dapat menjadikan tempat ini lebih dikenali serta diperluaskan ke kawasan-kawasan yang lain," kata Najib lagi.

Najib juga turut memuji para sukarelawan di restoran berkenaan yang mempunyai semangat juang yang tinggi. - KITAIKINI