SEKINCHAN, 26 NOV - Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menyatakan hasrat untuk bertanding di Dun Bukit Antarabangsa di kawasan yang telah dimenangi oleh Menteri Besar Selangor kini iaitu Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Hasrat itu dinyatakan ketika beliau baru sahaja selesai mengadakan program 'KONVOI' bermotor bersama 1000 pengundi luar di Sekin Fisherman Village, Hotel & Resort, Sekinchan.

Menurut Jamal, secara konsistennya beliau tidak berminat untuk bertanding di kawasan Parlimen Sungai Besar kerana beliau berminat dan suka dengan cabaran di Dun Menteri Besar Selangor itu.

" Saya tidak mempunyai masalah bertanding di Dun berkenaan kerana saya tahu rakyat di kawasan sana sudah mengenali siapa Azmin Ali yang hanya tahu bercakap semata mata tetapi tidak sedikit pun membantu rakyat terutama di kawasannya itu," kata Jamal.

" Saya juga telah berbincang dengan kepimpinan Umno Bahagian Ampang dan juga kepada Pengerusi Perhubungan Umno Negeri Selangor, Tan Sri Noh Omar tentang perkara berkenaan tetapi bergantung kepada pucuk kepimpinan parti terutama YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk menentukannya," kata Jamal lagi.

" Saya berharap YAB Perdana Menteri dapat mengizinkan saya menandingi Dun Bukit Antarabangsa, saya percaya jika saya dapat bertanding disana, saya akan memastikan saya dapat menyumbang kerusi dun berkenaan untuk membentuk Kerajaan Negeri Selangor untuk Barisan Nasional," katanya lagi.

Jamal telah berbincang dengan Rakan- Rakan NGOnya disana dan akan mengadakan program pertama di Dun Bukit Antarabangsa berkenaan dengan mengadakan Program Jualan Ikan Murah Harga Patut untuk rakyat pada hari Jumaat ini. - KITAIKINI