BERANANG, 11 NOV - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos membidas kenyataan Adun Sekinchan, YB Ng Suee Lim yang menyatakan Program 'Makan Tengahari Percuma' yang diusahakan olehnya di Sekinchan telah menjejaskan para peniaga yang lain pada Sidang Dun Selangor yang lalu.

Program berkenaan yang juga dikenali sebagai Program 'Jamuan Rakyat' bertempat di Sekin Fisherman Village Hotel & Resort, Sekinchan itu turut disalah ertikan oleh Adun berkenaan apabila beliau memberitahu program yang dianjurkan adalah program yang tidak kena pada tempat dalam usaha membantu rakyat.

" Ng Suee Lim sengaja mengeluarkan kenyataan sebegitu kerana dia sudah tahu untuk Pilihanraya Umum Ke-14 yang akan datang, beliau tidak akan mendapat undi lagi daripada pengundi di Sekinchan kerana pengundi di Dun Sekinchan majoritinya sudah muak dengan perangainya yang tidak melakukan apa-apa perubahan di kawasan berkenaan," kata Jamal.

Dalam pada itu, Jamal memberitahu, sebelum membuka program berkenaan, dia telah pun membuat kajian dan telah berjumpa dengan para peniaga yang lain, jika ada yang terjejas pun itu adalah penyokong Ng Suee Lim kerana harapan mereka apa yang saya lakukan demi kebaikan untuk masyarakat, mereka akan membantah walau apa cara sekalipun.

" Ng Suee Lim umpama menghisap madu di Sekinchan dan membawanya balik ke Klang untuk kepentingan peribadi, saya cabar adun berkenaan membuktikan apa yang beliau telah lakukan di Sekinchan selama tiga penggal memenangi dun tersebut, " kata Jamal ketika berada di program Jelajah Jualan Ikan Segar Harga Patut bersama Adun Semenyih merangkap Ketua Umno Bahagian Hulu Langat, Datuk Johan Abdul Aziz Di Bandar Tasik Kesuma, Beranang hari ini. - KITAIKINI