KOTA KINABALU, 30 NOV - Kerjasama yang kukuh dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN) merupakan kunci utama menentukan kejayaan BN merampas kembali kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Inanam, pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Presiden Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Sepanggar Lukin Teliban berkata semua parti komponen BN di kawasan itu yang terletak dalam Parlimen Sepanggar, perlu bergerak sebagai satu pasukan bagi merealisasikan misi tersebut.

"Saya lihat dalam PRU ke-14 akan datang, BN ada peluang cerah untuk merampas semula kerusi DUN Inanam. Apa yang penting gerakan meraih sokongan pengundi perlu dilakukan secara bersama melibatkan kesemua parti komponen BN, tanpa mengira siapa pun calon yang dipilih bertanding.

"Kerjasama secara bersepadu ini penting bagi memastikan kemenangan calon BN yang akan bertanding di DUN Inanam," katanya kepada Bernama.

Kerusi DUN Inanam yang sebelum ini merupakan kubu kuat BN, terlepas ke tangan pembangkang pada pilihan raya umum yang lepas apabila dimenangi Dr Roland Chia daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 3,202 undi.

Mengenai persediaan menghadapi PRU14, Lukin berkata semua parti komponen BN di Parlimen Sepanggar mempunyai peranan serta tanggungjawab bagi memastikan kejayaan BN.

"Jika jentera pilihan raya digerakkan bersama oleh semua komponen BN, ia pastinya akan memberi impak besar dan menyeluruh terhadap kejayaan BN. Kita perlu komited dalam menjayakan agenda menawan DUN Inanam.

"Untuk memenangi kawasan Inanam, kita tak boleh bergerak secara bersendirian atau individu. Bukan sesuatu yang mudah tetapi tidak mustahil bagi BN untuk melakukan kejutan jika semua parti komponen BN bersatu hati," katanya.

Selain PKR, BN dijangka berdepan beberapa calon daripada parti pembangkang termasuk Parti Warisan Sabah, Parti Cinta Sabah dan Parti Maju Sabah yang akan bertanding pada PRU-14 akan datang.

Sehubungan itu, beliau meminta pemimpin dan penyokong BN di kawasan berkenaan supaya bersatu dan meletakkan kepentingan parti sebagai perjuangan.

"Berdiri atas tiket BN bukan jaminan calon menang pilihan raya dengan mudah. Parti komponen BN perlu kukuhkan perpaduan dan elak daripada sebarang konflik dalaman," katanya.

Mengenai punca kekalahan calon BN DUN Inanam pada pilihan raya lepas, Lukin yang juga Pegawai Pembangunan Masyarakat Inanam berkata terdapat beberapa faktor yang dipercayai menyumbang kepada kekalahan itu.

Katanya ini termasuk calon yang bertanding dipilih dan diumumkan pada saat akhir menyebabkan perpecahan sokongan.

"Ada penyokong yang tidak puas hati dan seterusnya mengalihkan sokongan kepada parti pembangkang.

""Itulah punca yang menyebabkan perpecahan undi khususnya daripada anggota PBS. Saya yakin PBS boleh menang semula di Inanam jika semua pihak bersatu dan mengutamakan kepentingan perjuangan parti," katanya.

Mengenai calon BN pada PRU akan datang, Lukin berkata terserah kepada pucuk pimpinan BN untuk menentukannya.

"Perkara ini biarlah pucuk pimpinan yang menentukan, tetapi jika boleh biarlah anak tempatan dan mereka yang diterima rakyat...seterusnya mengembalikan kerusi DUN Inanam kepada PBS dan BN," katanya. - BERNAMA