KUANTAN, 30 NOV - UMNO Bahagian Kuantan yakin mampu menawan kembali kerusi Parlimen Kuantan yang telah dua penggal dipegang Parti Keadilan Rakyat menerusi strategi 'gerakan berfokus kluster' yang dilakukan dengan bantuan sayap Pemuda, Puteri dan Wanita.

Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kuantan Datuk Seri Ab Hamid Mohd Nazahar berkata gerakan itu giat dilakukan sejak empat tahun lalu terhadap golongan sasar hingga ke peringkat akar umbi untuk memenangi kembali hati pengundi di kawasan itu.

"Walaupun Kuantan merupakan kawasan yang dimenangi pembangkang, namun kita tetap bersemangat memberikan khidmat kepada rakyat kerana walaupun hanya memegang jawatan dalam parti, namun ia tetap amanah kepada kita untuk berjuang dan menjadi suara kepada rakyat.

"Sebab itu walaupun tewas (Parlimen Kuantan), namun banyak perkara Barisan Nasional (BN) dan UMNO khasnya telah lakukan untuk kebajikan rakyat di kawasan ini menerusi projek-projek yang dijalankan melalui agensi kerajaan mahupun negeri," katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya untuk setiap kelompok tertentu seperti petani, nelayan dan golongan professional, belia mahupun wanita, UMNO Bahagian Kuantan mempunyai 'askarnya' tersendiri untuk mengetahui keluh kesah dan permasalahan mereka.

Ab Hamid berkata menerusi maklumat yang diperoleh itu, UMNO Bahagian Kuantan juga mengatur gerak memperbaiki kekurangan, menghulur bantuan kepada yang memerlukan serta menyusun program untuk mengeratkan lagi hubungan.

Lantaran daripada paparan keprihatinan yang ditunjukkan oleh jentera UMNO, parti itu sering menjadi 'pusat kebajikan' untuk rakyat memerlukan bantuan antaranya pembiayaan persekolahan anak, permohonan bantuan untuk membaiki rumah, bantuan rawatan kesihatan untuk penyakit kronik di kawasan parlimen berkenaan.

"Mereka tanpa mengira kaum bagaikan tidak ada tempat mengadu, hendak harapkan wakil rakyat yang dipilih sebelum ini jarang-jarang sekali berada di kawasan, jadi menjadi tangungjawab UMNO untuk terus membela dan membantu mereka," katanya.

Ab Hamid berkata antara punca kekalahan calon BN pada ketika itu adalah isu Lynas yang digembar gemburkan oleh pembangkang yang kononnya pembinaan kilang itu boleh membahayakan kesihatan penduduk sekitar dan boleh merosakkan atap rumah yang akhirnya terbukti hanya dakyah yang tidak benar.

"Kita tahu pembangkang mengamalkan politik kebencian dan menyemai benihnya kepada rakyat, ia bukan satu perkara yang mudah untuk kita tanganinya kerana pemikiran tidak akan terbuka untuk melihat kebenaran walaupun banyak kebaikan telah kita lakukan.

"Contohnya isu Lynas, walaupun ia terletak di kawasan Parlimen Indera Mahkota, namun ia banyak menjejaskan sokongan pengundi di Parlimen Kuantan kepada BN dan UMNO apabila isu ini disebarkan melalui media sosial, walaupun akhirnya ternyata dakwaan kilang itu boleh menyebabkan penyakit kanser adalah tidak benar.

"Untuk menghadapi perkara itu (serangan media sosial) dalam pilihan raya kali ini, UMNO Bahagian Kuantan telah bersedia dengan unit IT sendiri bagi mengumpul data berkaitan pengundi selain menjadi ejen untuk menangani isu-isu yang dibangkitkan oleh pembangkang menerusi media sosial termasuk isu Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP)," katanya. - BERNAMA