PUTRAJAYA, 30 NOV - Empat individu ditahan reman tujuh hari bagi membantu siasatan kes aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Majistret Ainna Sherina Saipolamin mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga 6 Dis bagi membolehkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan lanjut.

Empat individu termasuk dua pengarah syarikat melombong pasir, seorang pengurus tapak bersama seorang pekerja syarikat pengiklanan, disyaki bersubahat dalam aktiviti tersebut. Kesemua mereka ditahan di Kuala Lumpur tengah hari semalam.

Keempat-empat individu yang berbaju lokap SPRM dan digari tiba di perkarangan mahkamah pada 9.40 pagi.

SPRM membekukan akaun syarikat bernilai RM4 juta susulan penahanan keempat-empat individu dipercayai terlibat dengan aktiviti perlombongan pasir dan batu haram di Selangor.

Kesemua mereka ditahan bagi membantu siasatan terhadap aktiviti perlombongan pasir dan batu secara haram di sebuah lokasi di Kajang sejak 2014. Kes ini disiasat mengikut Seksyen 16 Akta SPRM 2009.

Semalam, Pengarah Bahagian Siasatan SPRM Datuk Simi Abdul Ghani berkata operasi itu dilancarkan selepas SPRM mendapat maklumat daripada orang ramai berhubung aktiviti mencuri pasir di kawasan berkenaan sejak beberapa tahun lepas. - BERNAMA