KUALA LUMPUR, 27 NOV - Kerja membaik pulih perkhidmatan KTM Komuter dan Perkhidmatan Tren Elektrik (ETS) melibatkan beberapa laluan di sekitar Lembah Klang, yang mengalami gangguan susulan insiden tren kargo tergelincir berhampiran dari Stesen Bank Negara, Khamis lepas, dijangka selesai Ahad ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dalam kenyataan hari ini, berkata kelewatan itu berlaku kerana keadaan cuaca di ibu negara yang kerap hujan dan ini menganggu kelancaran jadual kerja baik pulih yang telah diatur sebelum ini.

"Kelewatan juga berlaku disebabkan kedudukan beberapa gerabak yang tergelincir terletak di dalam terowong Stesen Bank Negara telah menyukarkan lagi kerja-kerja pengalihan gerabak," menurut kenyataan itu.

Susulan insiden itu, KTMB berkata kedua-dua landasan keretapi antara laluan Stesen Kepong dan Stesen KL Sentral terpaksa ditutup bagi menjalankan kerja-kerja membaik pulih.

Katanya, status operasi perkhidmatan tren KTMB dan aturan pengangkutan alternatif yang disediakan masih kekal seperti yang dimaklumkan sebelum ini.

Pengangkutan van turut disediakan khas bagi para penumpang warga emas dan Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk keselesaan dan keselamatan mereka bagi perjalanan dari Stesen Sungai Buloh ke Stesen KL Sentral dan sebaliknya.

"Kerja-kerja baik pulih sedang giat dijalankan dan sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

"KTMB memohon maaf atas kesulitan yang berlaku," katanya.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari laman Twitter rasmi KTMB, @ktm_berhad atau menghubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-22671200.

Dalam kejadian jam 2.58 pagi itu, 2 gerabak tren kargo yang dalam perjalanan menuju ke arah Selatan tergelincir di antara Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur di KM386.

Insiden itu menyebabkan tren tidak dapat menggunakan laluan di antara Stesen Segambut, Stesen Putra, Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur. - BERNAMA