ASTANA, 21 NOV - Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) mengintai ruang jalinan kerjasama dengan Nazarbayev University (NU) di sini terutama dalam bidang akademik dan penyelidikan.

Kepimpinan tertinggi kedua-kedua institusi pengajian tinggi itu mengadakan perbincangan ke arah kerjasama itu sempena program Jelajah Ilmu UniMAP ke universiti kejuruteraan yang tersohor di Kazakhstan itu, semalam.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengetuai delegasi UniMAP pada perbincangan itu manakala NU oleh Presidennya, Shigeo Katsu.

Turut menyertai baginda yang juga Canselor UniMAP ialah Timbalan Naib Canselor Prof Dr Mohd Fo\'ad Sakdan dan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Prof Madya Razli Ahmad.

Lawatan ke NU yang turut disertai Duta Besar Malaysia ke Kazakhstan, Syed Bakri Syed Abdul Rahman adalah kegiatan pertama sempena program jelajah ilmu selama dua hari ke Astana yang merupakan ibu kota Kazakhstan yang moden dan tersusun.

Ketika pimpinan tertinggi berbincang mengenai jaringan kerjasama antara kedua-dua institusi pengajian tinggi, para pelajar UniMAP yang terdiri daripada pimpinan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) sesi 2016/2017 universiti itu turut mengadakan perbincangan mengenai peluang kerjasama dengan para pelajar NU dan kakitangan universiti itu pada majlis berasingan.

Sementara itu Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah bahawa UniMAP akan terus memberi fokus terhadap hubungan antarabangsa dan jaringan kerjasama dengan universiti-universiti terkemuka.

Titah baginda, lawatan itu akan memberi peluang kepada warga UniMAP meluaskan pengalaman mereka dan menghargai budaya institusi lain serta mewujudkan jaringan komunikasi yang berkesan antara pelajar dan tenaga pengajar.

Selain itu lawatan itu juga bertujuan memperkenalkan UniMAP sebagai sebuah universiti kejuruteraan yang berkembang maju dengan jumlah pelajarnya lebih 13,000 orang termasuk para pelajar luar negara.

UniMAP juga sentiasa mendedahkan para pelajarnya kepada arena antarabangsa dan antara yang terbaru termasuk menghantar 14 pelajar menjalani pendedahan di Guangdong University of Foreign Studies selama 3 minggu manakala 10 lagi pelajar termasuk kakitangan universiti mengikuti program mobiliti outbound di universiti terkemuka luar negara.

Baginda juga bertitah para penyelidik UniMAP telah dianugerahkan geran-geran penyelidikan antarabangsa seperti Horizon 2020, Erasmus dan Newton - Ungku Omar berjumlah hampir RM2.8 juta, geran industri sebanyak lebih RM8.5 juta manakala geran di peringkat nasional mencecah RM102 juta yang membuktikan keupayaan pelbagai pihak universiti itu.

NU yang diwujudkan tujuh tahun lalu mempunyai kira-kira 4,000 pelajar terletak di tengah kota moden Astana dan telah mencatat pelbagai kemajuan sejak kewujudannya dan mendorong UniMAP untuk menjalankan kerjasama dengannya. - BERNAMA