SHAH ALAM, 15 NOV - Jabatan Imigresen Selangor menahan seramai 102 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Op Ikrar yang dijalankan di sebuah rumah kongsi Setia Taipan/Alam Nusantara di sini kelmarin.

Pengarahnya Omran Omar berkata dalam operasi mulai 12.30 tengah malam hingga 4 pagi Isnin itu, pemeriksaan dilakukan ke atas 302 warga asing sebelum 102 daripada mereka ditahan atas pelbagai kesalahan.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada warga Indonesia, Bangladesh dan Myanmar membabitkan 31 perempuan dan 71 lelaki berusia setahun hingga 52 tahun," katanya dalam kenyataan hari ini.

Omran berkata majoritinya bekerja di kawasan pembinaan sekitar.

Antara kesalahan yang dikesan ialah tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah serta tamat tempoh pas.

Beliau berkata kesemua warga asing itu dibawa ke pejabat penguatkuasaan Jabatan Imigresen Selangor di sini untuk siasatan lanjut. - BERNAMA