BAGAN SERAI, 15 NOV - Tiga lelaki ditahan dan enam ekor ular senduk dirampas dalam satu operasi bersepadu di Jalan Selama, Matang Jelutong dan Jalan Besar Sungai Bogak, Bagan Serai malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian Supt Omar Bakhtiar Yaacob berkata reptilia terbabit dirampas dari sebuah kereta yang dinaiki tiga lelaki berumur lingkungan 30-an tersebut dalam operasi yang bermula 5 petang hingga 12 tengah malam itu.

Katanya operasi bersepadu itu melibatkan Polis Diraja Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan Jabatan Perhutanan Perak.

"Kes itu telah diserahkan kepada Jabatan Perhilitan untuk tindakan selanjutnya," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Selain itu, Omar Bakhtiar berkata dalam operasi berkenaan pihaknya memeriksa 75 kenderaan dan sebanyak 55 saman dikeluarkan kepada pemilik kerana melakukan pelbagai kesalahan. -BERNAMA