KUANTAN, 15 NOV - Sebanyak 7,291 akaun pengguna di Maran dekat sini akan mengalami gangguan bekalan air selama 24 jam pada Rabu minggu depan.

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) berkata gangguan itu ekoran kerja pemasangan penghadang air di muka sauk Loji Rawatan Air Jengka Utama.

"Kerja pemasangan dijadualkan bermula 11 pagi 22 Nov dan tamat pada 11 pagi keesokan harinya," demikian menurut kenyataan itu.

Kawasan yang terjejas ialah Felda Jengka 10, 14, 15, 16, 20, 21, 22, 24, 25, Rumpun Makmur, bandar Jengka, Kampung Gunung Senyum, Universiti Teknologi Mara, Rantau Perintis, Desa Jaya.

Turut terjejas Taman Jengka Mahkota, Taman Permatang Shahbandar, Taman Jengka Impian 1 dan 2, Kampung Durian Hijau, Kampung Bukit Nikmat serta kawasan berhampiran.

Sehubungan itu, PAIP menasihatkan pengguna untuk menyimpan bekalan air secukupnya dan sebarang pertanyaan boleh dimajukan kepada Pusat Khidmat Pelanggan (PULAPEL) menerusi 09-5739999. - BERNAMA