MANILA, 13 NOV - Sidang Kemuncak Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) ke-31 dan Sidang Kemuncak berkaitan, bermula dengan rasmi di sini hari ini.

Presiden Rodrigo Duterte, yang mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN tahun ini, merasmikan pembukaan Sidang Kemuncak itu yang berlangsung di Cultural Centre of the Philippines (CCP) di Pasay City, di sini.

Sidang Kemuncak tahun ini juga berbetulan dengan ulang tahun ke-50 ASEAN.

Sepuluh Pemimpin dari rantau ini dan rakan dialog mereka daripada beberapa kuasa dunia, Kesatuan Eropah dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dijangka menumpukan perbincangan mereka kepada isu politik, keselamatan, ekonomi dan sosio budaya.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor, menghadiri majlis perasmian itu, bersama-sama Pemimpin ASEAN yang lain, antaranya Perdana Menteri Kemboja Hun Sen, Kaunselor Negara Myanmar Aung San Suu Kyi, Presiden Indonesia Joko Widodo, dan Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong.

Turut menghadiri majlis perasmian gilang-gemilang itu ialah Presiden Amerika Syarikat Donald Trump, Perdana Menteri India Narendra Modi, Perdana Menteri Australia Malcolm Turnbull, Perdana Menteri Jepun Shinzo Abe dan Perdana Menteri China Li Keqiang.

Perhimpunan Manila ini akan menyaksikan berlangsungnya sejumlah 11 Sidang Kemuncak dan dijangka menerima pakai 56 dokumen hasil, termasuk Konsensus ASEAN yang tidak mengikat dari segi undang-undang berkaitan Perlindungan dan Penggalakan Hak Pekerja Migran.

Para pemimpin itu akan membincangkan isu serantau dan antarabangsa membabitkan kepentingan bersama seperti Laut China Selatan, krisis pelarian Rohingya, ketegangan di Semenanjung Korea, memerangi keganasan dan keganasan melampau dan ekonomi digital siber.

Antara acara utama adalah Sidang Kemuncak Pleno ASEAN ke-31, Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Amerika Syarikat, Sidang Kemuncak ASEAN-China ke-20, Sidang Kemuncak ASEAN-Korea Selatan ke-19, Sidang Kemuncak ASEAN-Jepun ke-10, dan Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-9.

Para pemimpin ASEAN akan turut bertemu peneraju industri di rantau ini yang mewakili Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN.

ASEAN ditubuhkan di Bangkok pada 8 Ogos 1967 dengan lima anggota pengasas - Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand. - BERNAMA