Nilai, 2 NOV - Cubaan seorang lelaki tempatan menyeludup masuk 20 kilogram dadah jenis ketamine bernilai RM900,000 gagal apabila ditahan oleh anggota Cawangan Narkotik Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) di Lapangan Terbang Antabangsa Kuala Lumpur (KLIA), bulan lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya berkata dadah berkenaan dalam dua bungkusan ditemukan disorok di dalam bagasi milik lelaki berusia 37 tahun itu selepas tiba dari Mumbai, India, pada kira-kira 10.45 pagi, 13 Okt lepas.

"Hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai dua bungkusan mengandungi serbuk berwarna coklat di dalam bagasinya dan suspek mendakwa serbuk tersebut adalah serbuk kunyit yang dibeli dari sebuah pasar raya di India untuk dijadikan sebagai bahan campuran untuk menghasilkan minuman kesihatan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Hasil ujian saringan awal Jabatan Kimia mengesahkan sampel serbuk berwarna coklat itu adalah dadah ketamine, katanya.

Zulkifli berkata suspek, seorang pemilik pusat karoke, turut didapati positif dadah dan sedang dalam tahanan reman sehingga Isnin depan.

"Siasatan juga sedang dijalankan sama ada suspek ini keldai dadah atau bukan," katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, dan jika sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati. - BERNAMA