IPOH, 2 NOV - Semua bangunan dan agensi kerajaan, premis-premis perniagaan serta persendirian di seluruh negeri digalak mengibarkan bendera Perak sempena Hari Keputeraan ke-61 Sultan Perak Sultan Nazrin Shah yang akan disambut esok.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan berkata pengibaran bendera negeri Perak di premis masing-masing adalah sebagai lambang taat setia kepada Raja Pemerintah.

"Untuk menceriakan suasana sambutan, bangunan-bangunan kerajaan dan premis perniagaan juga digalakkan menyalakan lampu di bangunan masing-masing sehingga pukul 12 tengah malam pada malam 5 Nov," katanya dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Abdul Puhat berkata beberapa acara utama akan diadakan sempena sambutan rasmi Hari Keputeraan Sultan Perak beserta beberapa acara susulan di serata negeri.

Katanya esok, semua masjid di seluruh negeri akan mengadakan bacaan Yasin menandakan kesyukuran selain khutbah khusus sempena keputeraan oleh para khatib semasa solat Jumaat.

Pada sebelah malam hari Sabtu, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim berkenan meraikan tetamu di majlis Santapan Diraja di Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

Abdul Puhat berkata pada pagi 5 Nov, Sultan Nazrin dijadual memeriksa kawalan kehormatan di perkarangan Istana Iskandariah sebelum bersama-sama Tuanku Zara berangkat ke Istiadat Menghadap Sembah Taat Setia, Menjunjung Duli dan Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran negeri Perak di Balairung Seri.

Selain itu, Sultan Nazrin dan Tuanku Zara dijadual berangkat menyertai larian sempena Hari Keputeraan baginda bersama-sama 5,000 orang di Kuala Kangsar.

"Kerajaan negeri telah menyusun pelbagai acara susulan untuk memberi peluang dan kesempatan kepada rakyat di serata negeri mengenali serta beramah mesra secara lebih dekat dengan baginda berdua," katanya. - BERNAMA