KUALA LUMPUR, 2 NOV - Anugerah Akademik Negara 2017 (AAN) anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), akan berlangsung Jumaat ini di Putrajaya bagi mengiktiraf anggota akademik yang memberi sumbangan cemerlang dalam perkembangan pendidikan di dalam negara.

Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Prof Dr Noor Azizi Ismail berkata AAN merupakan platform dan pemangkin bagi melahirkan anggota akademik berbudaya cemerlang.

"Pengiktirafan seperti ini akan memberikan semangat kepada anggota akademik lain bagi terus menghasilkan penerbitan dan penyelidikan yang berkualiti.

"Kecemerlangan bakat iaitu lonjakan kedua dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 turut memfokuskan pembinaan dan pembangunan bakat cemerlang anggota sarjana dan komuniti akademik di institusi pengajian tinggi," katanya kepada Bernama di sini, Rabu.

Katanya AAN kali ini, yang memasuki edisi ke-11, menggabungkan penganugerahan dua AAN, termasuk AAN 2016 yang tidak dianjurkan pada tahun lepas.

"Mereka yang menang ini akan diangkat sebagai ikon kepada pensyarah-pensyarah lain selain menjadi 'model peranan' kepada pensyarah baru. Kita rasa ini satu-satunya platform yang sesuai untuk meningkatkan lagi kecemerlangan bakat dalam kalangan anggota akademik di negara kita," katanya.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor Jaringan Industri dan Masyarakat Universiti Sains Malaysia Prof Dr Abdul Rahman Mohamed berkata secara keseluruhannya AAN 2017 menerima 103 pencalonan, iaitu 20 daripada institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan lima IPT swasta.

"Proses pencalonan bermula Februari lepas, dengan setiap IPT menghantar satu pencalonan bagi setiap kategori (tujuh kategori)."

"Nama anggota akademik itu dicalonkan oleh IPT. Kebiasaannya nama yang dicalonkan ini, telah pun dianugerahkan oleh IPT itu sendiri. Ini (pencalonan) adalah yang terbaik daripada yang terbaik," katanya yang juga merupakan seorang anggota panel penilai AAN 2017.

AAN terbuka kepada tujuh kategori iaitu Anugerah Tokoh Akademik Negara, Anugerah Penerbitan Makalah Jurnal, Anugerah Penerbitan Buku, Anugerah Inovasi dan Pengkomersialan Produk, Anugerah Seni dan Kreativiti, Anugerah Pengajaran dan Anugerah Ahli Akademik Harapan.

Pemenang utama Anugerah Tokoh Akademik Negara akan menerima hadiah wang tunai RM200,000 berserta trofi dan sijil manakala penerima kategori lain akan menerima RM50,000, trofi dan sijil. - BERNAMA