TAIPING, 1 NOV - Gerakan koperasi sekolah telah menunjukkan potensi cemerlang dalam perniagaan sehingga melepasi perolehan jualan RM1 juta, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Beliau berkata aktiviti koperasi sekolah juga kini pelbagai serta menjurus kepada bidang yang berdaya saing seperti pertanian, perkhidmatan, pelancongan dan penjagaan diri berbanding hanya produk kepenggunaan 10 tahun lalu.

Misalnya, katanya, beberapa koperasi sekolah seperti Koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas, Pulau Pinang; Koperasi Kolej Vokasional Tanah Merah, Kelantan dan Koperasi MRSM Kubang Pasu, Kedah mencatat perolehan lebih RM1 juta setahun.

"Koperasi sekolah jelas mempunyai prospek yang luas untuk berjaya dalam berniagaan sekiranya bijak merebut peluang-peluang yang sesuai dengan keperluan sekolah, murid-murid dan guru-guru.

"Koperasi sekolah merupakan platform yang paling tepat dalam melahirkan usahawan muda dalam kalangan murid," katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Kecemerlangan Koperasi Sekolah (AKKS) peringkat kebangsaan 2017 di sini, malam tadi.

Teks ucapan Hamzah dibacakan oleh Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Datuk Dr Noor Zari Hamat.

Sementara itu, Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata walaupun dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan, koperasi sekolah mampu menunjukkan prestasi terbaik dalam AKKS 2017.

Katanya, sehingga Disember tahun lalu terdapat sebanyak 2,378 koperasi sekolah dengan keanggotaan 2.02 juta orang, syer berjumlah RM24.48 juta, asset bernilai RM327.02 juta serta perolehan sebanyak RM359.29 juta di seluruh negara.

Menurut Abdul Fattah, penjanaan pendapatan oleh koperasi sekolah bukan untuk keuntungan semata-mata, tetapi ia dapat menjual keperluan kepada pelajar dan guru dengan harga lebih murah seterusnya mengurangkan beban murid dan kos sara hidup.

Sementara itu, Noor Zari, ketika ditemui, berkata SKM dan Kementerian Pendidikan sentiasa menggalakkan sekolah untuk menceburi pelbagai bidang keusahawanan dengan memberikan geran berjumlah antara RM10,000 hingga RM20,000.

Pada majlis itu, Koperasi Sekolah Menengah Kebangsaan Pekan Baru Muar Berhad, Johor dinobat pemenang AKKS 2017 dan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000, sijil penghargaan, piala serta lawatan ke luar negara. - BERNAMA