KUALA LUMPUR, 22 NOV - Bank Negara Malaysia (BNM) akan melantik pihak yang akan menukar mata wang kripto kepada 'wang fiat' sebagai institusi pelapor mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2011, mulai tahun depan.

(Wang fiat ialah wang yang beredar dalam ekonomi dan diakui sebagai sah diterima oleh Kerajaan).

Gabenornya, Tan Sri Muhammad Ibrahim berkata langkah itu bertujuan menghalang penyalahgunaan sistem itu untuk aktiviti haram dan jenayah, selain memastikan kestabilan dan integriti sistem kewangan.

"Kita perlu mempersiapkan diri, seperti yang dijelaskan oleh banyak pakar, mata wang digital akan menjadi norma baharu.

Kemunculan mata wang digital seperti yang diunjurkan, akan memulakan era baharu dalam sektor kewangan. Sebagai pihak berkuasa, kita tidak boleh ketinggalan dalam perkembangan ini," katanya dalam ucapan alu-aluan pada Sidang Kemuncak Memerangi Pembiayaan Keganasan (CTF) 2017 kali ketiga di sini hari ini.

Muhammad berkata pemakaian risikan, pembelajaran mesin dan teknologi data maya merupakan antara alat yang penting memandangkan urus niaga yang mencurigakan kini semakin rumit dan sukar dikesan.

"Seperti yang kita pelajari daripada Forum Inovasi pada Sidang Kemuncak ini, penggunaan risikan dan data raya berpotensi meningkatkan kecekapan dan ketepatan penilaian yang penting dalam persekitaran dinamik.

"Sektor perbankan perlu mengguna pakai teknologi terkini dan paling canggih untuk meningkatkan rangka kerja pengurusan risiko," katanya.

Muhammad berkata akses yang lebih besar ke atas maklumat perisikan untuk institusi kewangan dan peningkatan ancaman dari kumpulan negara Islam Iraq dan jajahannya (ISIL), menyumbang kepada peningkatan pelaporan Transaksi Mencurigakan (STR).

Antara Januari dan Jun tahun ini, beliau berkata Unit Risikan Kewangan (FIU) menerima 346 STR yang berkaitan dengan pembiayaan keganasan, yang telah menyebabkan 34 pendedahan kepada agensi penguatkuasa undang-undang berbanding 93 STR dengan 14 pendedahan pada 2015.

Gabenor BNM berkata bank pusat juga sedang memuktamadkan butiran mengenai keperluan baharu bagi sektor Perbankan dan Perniagaan Perkhidmatan Wang untuk melaporkan bidang berisiko tinggi.

"Bidang berisiko tinggi akan diputuskan berdasarkan risikan agensi penguatkuasaan undang-undang mengenai bidang yang mereka anggap boleh menimbulkan risiko lebih tinggi dalam pembiayaan kegiatan keganasan," katanya.

Ini, katanya, konsisten dengan penemuan Penilaian Risiko Serantau bagi Pembiayaan Keganasan pada Sidang Kemuncak CTF kedua di Bali tahun lepas, dengan tindakan utama yang dikenal pasti ialah mengegsa FIU meningkatkan ketampakan dan wawasan tentang bentuk pembiayaan keganasan di rantau ini.

Muhammad berkata idea itu bertujuan membantu FIU mendapatkan pandangan yang lebih baik mengenai peranan pusat kewangan dan hab transit dalam rangkaian pembiayaan keganasan serantau dan antarabangsa.

"Nyata, perkembangan teknologi pesat telah menawarkan potensi besar untuk pertumbuhan ekonomi. Malangnya, ia juga mencetuskan cara baharu bagi organisasi pengganas memperoleh, memindah dan menguruskan dana mereka.

"Berdasarkan perkembangan ini, peranan sektor kewangan sebagai benteng terhadap pembiayaan pengganas, menjadi lebih kritikal. Sistem kewangan mestilah sentiasa bersiap sedia untuk mengenal pasti dan mencegah secara berkesan sebarang risiko pembiayaan keganasan yang baru muncul ini," katanya. - BERNAMA