KUALA LUMPUR, 17 NOV - Kumpulan Perangsang Selangor Bhd dipilih memenangi Anugerah Perak bagi Majikan Pilihan (Kategori Sektor Swasta) 2017 sebagai pengiktirafan dalam membangunkan bakat insan dengan menjajarkan dan merealisasikan strategi sumber manusia pada peringkat korporat.

Dalam satu kenyataan, Kumpulan Perangsang berkata anugerah itu diberikan oleh Institut Pengurusan Sumber Manusia Malaysia (MIHRM), satu-satunya organisasi untuk pengurusan sumber manusia yang diberi kuasa untuk mengesahkan pengamal sumber manusia di Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Ahmad Fariz Hassanberkata anugerah ini membuktikan pengiktirafan MIHRM dalam mempromosikan sumber manusia sebagai 'rakan perniagaan' yang penting dan untuk menunjukkan pentingnya strategi dalam mencapai matlamat organisasi.

"Perangsang Selangor bangga diiktiraf oleh MIHRM dalam kategori Majikan Pilihan tahun ini dan dengan anugerah ini membuktikan kami mempunyai pendekatan yang berkesan dan sistematik dalam mengurus pekerja kami," katanya.

Ahmad Fariz berkata syarikat itu yakin dalam mewujudkan nilai mampan untuk syarikat itu dengan menanam budaya prestasi tinggi dan mengutamakan pembangunan modal insan.

Anugerah itu disampaikan pada Anugerah Sumber Manusia Malaysia ke-17 pada 9 Nov 2017. Lebih 30 syarikat Malaysia, termasuk syarikat multinasional, menyertai pertandingan tahun ini. - BERNAMA