PUTRAJAYA, 3 NOV - Kedudukan Malaysia dalam aspek 'Getting Electricity┬┤ Laporan Menjalankan Perniagaan 2018 Bank Dunia merupakan pengiktirafan kepada penyediaan bekalan elektrik negara yang boleh dipercayai dan ketelusan mekanisme penetapan tarif.

"Malaysia berada pada kedudukan kelapan daripada 190 negara, " kata Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Dr Maximus Ongkili, dalam kenyataan.

Menurut laporan itu, yang dikeluarkan pada Selasa lepas, tempoh bekalan elektrik di Malaysia mengambil masa 31 hari berbanding 78 di negara-negara berpendapatan tinggi Pertubuhan Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD).

"Ia juga sebagai pengiktirafan kepada kos yang berpatutan untuk mendapatkan sambungan elektrik dan proses yang lancar dan diselaraskan untuk mendapatkan sambungan elektrik," kata Ongkili.

Kedudukan tersebut, katanya, dicapai melalui usaha dan kerjasama rapat penggiat industri bekalan elektrik, Suruhanjaya Tenaga dan Tenaga Nasional Bhd (TNB), untuk meningkatkan kecekapan bagi memudahkan sambungan elektrik.

Ongkili berkata kerjasama tersebut membolehkan TNB melaksanakan inisiatif seperti permohonan pembekalan dalam talian untuk memberi kemudahan kepada pelanggan dan mengurangkan tempoh menunggu pelanggan dengan memudahkan proses permohonan.

"Inisiatif itu sejajar dengan dasar kerajaan untuk menyediakan elektrik yang berpatutan, boleh diakses dan mampan kepada orang ramai, " katanya. - BERNAMA