AMPANG, 10 OKT - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini hadir di Pusat Membeli Belah Ampang Point dengan membawa beberapa beg yang berisi ketulan Aiskrim semasa mengadakan Jelajah Pertama 'Dapat Aiskrim Percuma (DAP)' di kawasan berkenaan.

Jamal yang dilihat hadir kira-kira jam 2.30 petang tadi bertemu dengan orang ramai dan mengedarkan 1000 batang aiskrim yang dibawa olehnya.

Menurut Jamal program yang diadakan pada hari ini bertujuan untuk mengajak rakyat membuat perkara yang berfaedah daripada menyertai 'Pesta Arak' yang terang-terang merosakkan moral, lebih-lebih lagi merosakkan minda terutama kepada golongan muda.

Dalam pada itu, Jamal menyatakan bersedia untuk disaman jika gambar yang tertera di tong aiskrim yang dibawa olehnya adalah Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Jamal juga turut menetapkan pendiriannya bahawa siri Jelajah Program ini tidak akan dihentikan sehinggalah Azmin membuat kenyataan jelas membatalkan 'Pesta Arak' berkenaan yang dijangka akan diadakan tidak lama lagi.

Difahamkan, Kempen DAP ini akan diteruskan di sekitar kawasan selangor khususnya di Gombak.

“ Selepas di Ampang Point ini, saya mungkin akan turun ke Gombak dan membawa tong-tong aiskrim ini ke kedai-kedai mamak dan sebagainya," kata Jamal. - KITAIKINI