SHAH ALAM, 5 OKT - Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini hadir di Hadapan Pintu Masuk Bangunan Kerajaan Negeri (SUK) Selangor dengan memecahkan kira-kira 100 botol-botol arak tanda memprotes Pesta Arak 2017 yang dijangka diberikan kelulusan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada bulan ini.

Jamal yang hadir bersama pengikutnya kira-kira jam 10.15 pagi tadi juga dilihat memberi amaran kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya tidak membenarkan pesta arak diadakan di Negeri Selangor secara terang-terangan.

" Jika hendak minum, minumlah di rumah tidak payah mengadakan pesta," kata Jamal.

Jamal juga mengucapkan terima kasih kepada exco-exco Parti Islam Semalaysia ( PAS) yang turut dilihat membantah aktiviti yang tidak bermoral itu.

Terdahulu, Menteri Besar Selangor telah menyatakan hasrat untuk memberikan kelulusan kepada 'Pesta Arak 2017' pada bulan oktober ini jika penganjur mematuhi undang-undang yang telah disediakan.

Namun perkara ini telah dibantah oleh beberapa individu dan juga NGO kerana Pesta Arak terbabit didapati merosakkan akhlak dan minda masyarakat. - KITAIKINI