KUALA LUMPUR, 30 OKT - Kesungguhan Malaysia dalam menyuarakan isu Rohingya ke telinga kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) sedikit sebanyak telah menampakkan hasil berikutan masyarakat antarabangsa mula memberi lebih perhatian kepada kaum yang tertindas itu.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menarik perhatian bahawa Washington, misalnya, memperuntukkan US$32 juta untuk bantuan kepada pelarian Rohingya selain memutuskan bantuan ketenteraan kepada tentera Myanmar susulan penindasan yang dilakukan.

Tindakan yang diambil AS itu menunjukkan Malaysia mempunyai keupayaan membawa isu-isu berkepentingan kepada negara kuasa besar, katanya dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Najib berkata beliau mengutarakan isu pelarian Rohingya secara spesifik dan jelas dalam pertemuan di White House dengan Presiden Donald Trump pada September lalu, dan ia disambut baik oleh pemimpin AS itu.

"Dan saya ingin maklumkan bahawa dalam 'communique' (kenyataan) asal tidak disebut isu Rohingya tetapi apabila saya minta (perkara itu dimasukkan), Presiden Trump bersetuju dan communique dari White House itu telah memasukkan isu penindasan terhadap Rohingya," katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) berhubung hasil lawatan kerja perdana menteri ke AS. - BERNAMA