KUALA LUMPUR, 18 OKT - Penganut beragama Hindu hari ini menyambut perayaan Deepavali dalam suasana harmoni dan penuh warna-warni di seluruh negara.

Lebih manis apabila kegembiraan pesta cahaya tidak hanya dirasai oleh masyarakat India tetapi juga rakyat pelbagai kaum yang mengambil kesempatan mengunjungi sahabat handai, selain merakamkan ucapan Deepavali di laman sosial Twitter, Facebook dan WhatsApp seiring semangat muhibah di negara ini.

Seperti kelaziman, perayaan itu dimeriahkan dengan tradisi rumah terbuka di kediaman masing-masing serta majlis anjuran parti politik dengan pelbagai juadah tradisional disajikan.

Di ibu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyertai ribuan rakyat pada majlis rumah terbuka Deepavali anjuran MIC di perkarangan kompleks kuil Batu Caves, Selangor yang juga merupakan acara kemuncak sambutan perayaan itu.

Alunan muzik, paluan gendang, tiupan seruling, tarian tradisional turut memeriahkan majlis yang juga dihadiri Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam dan pemimpin-pemimpin parti itu. - BERNAMA