KUALA NERANG,10 OKT - Jelutong Kelulut Madu Trigano Agro Farm (JKMTAF), sebuah taman mini penternakan lebah kelulut di Kampong Barokas di sini yang merupakan salah satu tarikan agro pelancongan di daerah padang Terap akan terus diberi perhatian oleh Jabatan Pertanian.

Pegawai Pertanian daerah Padang Terap, Mohd Yuzaidi Azmi ketika dihubungi berkata, taman mini JKMTAF adalah antara salah satu segmen pelancongan agro pertanian yang terus diberi perhatian di daerah ini dan tumpuan penambahbaikan dari segi landskap taman ini akan dilaksanakan untuk meningkatkan potensinya sebagai suatu tarikan pelancong.

"Kita akan beri fokus untuk menambah baik bengkel sedia ada dan landskap yang menarik untuk tarikan pelancong...malah kita akan jadikan taman kelulut ini sebagai tempat rujukan bagi peserta yang berminat mengikuti

kursus membangunkan produk berasaskan madu kelulut," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Sementara itu pemilik ladang kelulut berkenaan, Mohd Riban Zainon, 42, berkata pada mulanya ladang kelulut seluas 0.29 hektar itu yang mula beroperasi sejak 2013 diberi tumpuan untuk penghasilan madu tetapi atas sambutan yang menggalakkan daripada pelawat ia diubah suai supaya kelihatan lebih menarik.

Mohd Riban kini merancang untuk membina galeri kelulut, bengkel latihan, rumah rehat dan kolam renang untuk pengunjung yang bersantai dan melakukan aktiviti.

"Syukurlah Jabatan Pertanian menyokong usaha saya ini dengan menyediakan peruntukan untuk membina bangsal teduhan kelulut dan saya berharap ada lagi bantuan susulan lain disediakan supaya lebih menarik untuk dilawati," katanya.

Pengunjung juga boleh datang melihat sendiri pelbagai spesies lebah kelulut di JKMTAF , penghasilan madu dan menikmati kesegaran madu sebelum membelinya, kata beliau yang mengusahakan 320 sarang lebah kelulut bagi penghasilan madu, katamya ketika ditemui Bernana di sini hari ini.

Mohd Riban berkata, selain penghasilan madu, beliau juga mempelbagaikan produk berasaskan madu kelulut asli untuk dijadikan produk kecantikan, haruman, sabun muka, serta jus madu kelulut yang telah pun memasuki pasaran dalam negara hingga ke Brunei.

Beliau berkata, taman mini ini turut menyediakan perkhidmatan menyedut sendiri madu kelulut dari sarang kelulut untuk pengunjung.

"Jika ragu-ragu dengan kualiti madu, pelancong boleh merasa sendiri madu kelulut dari sarang dan boleh dibotolkan terus untuk dibawa balik ke rumah agar mereka berpuas hati dengan ketulenan madu yang dibeli berbanding di tempat lain," katanya.

Bagaimanapun, untuk berada di tahap ini pelbagai cabaran telah ditempuh Mohd Riban dengan sabar dan cekal memandangkan industri madu kelulut ini begitu berpotensi untuk dimajukan dan dikembangkan kerana mempunyai nilai yang tinggi.

"Saya pernah kerugian puluhan ribu ringgit apabila 350 sarang kelulut yang telah menghasilkan madu rosak akibat kemarau panjang pada Mei tahun lepas, ketika itu ramai pengusaha gulung tikar apabila lebah kelulut meninggalkan sarang kerana cuaca panas.

"Namun saya tekad bangkit dengan baki sarang yang ada saya jual dan saya beli semula sarang kelulut yang belum diproses daripada penduduk kampung dan Alhamdulillah ianya bertahan hingga hari ini," katanya.

Yuzaidi juga berkata, selain JKMTAF, produk agro pertanian lain yang diberi tumpuan di daerah ini ialah projek tanaman cendawan Volvariella, Semeliang Agrofarm, Vegetable Valley, Houseboat Tasik Pedu, projek ternakan ayam kampung, rumah madu, padi wangi Kedah dan santuari ikan sungai. - BERNAMA