KUALA LUMPUR, 6 OKT - Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan 20 Nov untuk mendengar permohonan kerajaan Malaysia bagi membatalkan saman difailkan Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya dilepaskan dan dibebaskan daripada penjara atas kesalahan meliwat bekas pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Peguam Kanan Persekutuan Nadia Hanim Mohd Tajuddin, yang mewakili kerajaan memberitahu pemberita bahawa Timbalan Pendaftar Rumaizah Baharom menetapkan tarikh itu di dalam kamarnya ketika pengurusan kes, yang turut dihadiri peguam Shahid Adli Kamarudin, mewakili Anwar.

Shahid pula berkata mahkamah turut menetapkan 16 Nov untuk pengurusan kes sebelum permohonan itu didengar di hadapan Hakim Datuk Nik Hasmat Nik Mohamad.

Dalam permohonan bertarikh 12 Mei lepas, kerajaan memohon saman bekas ketua pembangkang itu dibatalkan atas alasan ia menyalahgunakan proses mahkamah dan tiada kuasa tindakan yang munasabah selain mendakwa tindakan Anwar memfailkan saman adalah tidak sah mengikut Perlembagaan dan ia berbaur hasutan.

Anwar, yang memfailkan saman pada 17 April lepas dengan menamakan kerajaan sebagai defendan tunggal turut memohon perintah supaya keputusan Mahkamah Rayuan bertarikh 7 Mac 2014 dan keputusan Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb 2015 diketepikan atas sebab penipuan yang didakwa dilakukan Mohd Saiful, iaitu saksi utama pendakwaan.

Katanya, Mahkamah Rayuan telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang melepaskan dan membebaskannya, dan mensabitkan dan menghukumnya kepada penjara lima tahun. Namun, Mahkamah Persekutuan menolak rayuannya pada 10 Feb 2015 dan mengekalkan sabitan dan hukuman berkenaan.

Anwar turut mendakwa Mohd Saiful telah memberi keterangan sumpah bohong yang diketahui defendan sebagai palsu, namun defendan bergantung serta meneruskan penggunaan keterangan sumpah bohong Mohd Saiful untuk kelebihan sendiri.

Disebabkan penipuan itu, Anwar mendakwa keputusan Mahkamah Rayuan yang dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan adalah terbatal dan tidak sah dan boleh diketepikan di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan 1950 selain turut memohon kos, dan relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Anwar, kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat Mohd Saiful di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, Jalan Setiakasih, Bukit Damansara di sini antara 3.10 petang dan 4.30 petang pada 26 Jun 2008. - BERNAMA