PORT DICKSON, , 3 OKT - Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhasrat untuk meningkatkan kadar pengkomersialan produk hasil penyelidikan kepada 15 hingga 20 peratus, kata Timbalan Menterinya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah.

Beliau berkata pihak industri di Malaysia yang mengkomersialkan produk berkenaan perlu lebih giat menjual produk itu agar ia boleh dimanfaatkan oleh rakyat di negara ini selain mewujudkan lebih ramai usahawan.

"Sekarang ini, kadar itu ialah lima hingga enam peratus sahaja...terlalu sedikit. Kita hendak kalau boleh dinaikkan sekurang-kurangnya 15 ke 20 peratus. Bermakna daripada 10 produk, tiga atau empat boleh dikomersialkan," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan program Respex (Regional Students Product Exhibition) dan IRSTC (International Research for Science, Technology and Culture) 2017 di Politeknik Port Dickson yang turut dihadiri Pengarah Politeknik Port Dickson Roslee Yahya.

Abu Bakar berkata rakyat Malaysia perlu diyakini bahawa produk Malaysia adalah produk yang hebat agar dapat menggalakkan pembelian sekali gus meningkatkan kadar pengkomersialan sesuatu produk hasil penyelidikan.

Beliau berkata kementerian telah membelanjakan sebanyak RM90 juta untuk peruntukan penyelidikan pada Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) selain mendapat 400 tawaran penyelidikan di peringkat antarabangsa.

Respex dan IRSTC yang berlangsung selama dua hari mulai hari ini adalah kombinasi dalam program penyelidikan yang berpaksikan keintelektualan dalam penghasilan produk baharu bagi mengorak langkah pelajar untuk memajukan diri dalam mengangkat pencapaian daripada pembentangan kertas kajian.

Sebanyak 70 penyertaan dari Institusi Pengajian Tinggi dan 30 pembentangan serta kertas projek dari negara ASEAN, China, Korea Selatan, Jepun dan Australia akan menjadi tumpuan. - BERNAMA