KUALA LUMPUR, 3 OKT - Polis mengesahkan bahawa kotak hitam yang ditemukan berhampiran pintu masuk sebuah pusat beli-belah terkemuka di Bukit Bintang di sini malam tadi, bukan bom.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Mohd Sukri Kaman berkata polis yang menerima panggilan mengenai penemuan mencurigakan itu menghantar sepasukan unit pemusnah bom ke lokasi.

"Pemeriksaan lanjut mendapati objek itu tidak mengandungi sebarang bahan letupan dan ia dimusnahkan pada kira-kira 1.50 pagi," katanya ketika dihubungi Bernama.

Siasatan lanjut bagi mengenal pasti individu yang meletakkan objek itu di lokasi kejadian sedang dibuat. - BERNAMA