KUALA LUMPUR, 30 OKT - Malaysia akan menimbangkan perjanjian perdagangan bebas (FTA) dengan Amerika Syarikat (AS) sekiranya Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) tidak menjadi kenyataan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pada masa ini, Malaysia dan AS komited untuk meneruskan dialog dua hala bagi membincangkan isu perdagangan dan pelaburan menerusi Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan.

"Mengenai TPPA, saya dan rombongan Malaysia telah mengadakan dialog bersama ahli kongres AS dan menyarankan negara tersebut kekal bersama ahli TPPA untuk menjayakan perjanjian ini."

"Sekiranya perkara ini tidak berhasil, saya telah mencadangkan bahawa model TPPA ini dirangka kepada perjanjian perdagangan dua hala seperti FTA yang telah tertunda sejak 2008," katanya.

Najib berkata demikian semasa menjawab pentanyaan Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu) mengenai hasil lawatan beliau ke AS pada September. - BERNAMA