KUALA LUMPUR, 20 OKT - Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) akan memperluaskan Khidmat Nasihat Persaraan (RAS) ke beberapa cawangan lagi menjelang hujung tahun ini bagi membantu masyarakat dalam menyusun kewangan mereka sebagai persediaan selepas bersara.

Pegawai RAS KWSP cawangan Petaling Jaya Mogana Murugan berkata, sehingga kini, sebanyak 18 daripada 67 cawangan KWSP di seluruh negara menyediakan khidmat tersebut.

Sejak RAS dilancarkan pada 2014 sehingga Ogos lalu, seramai 54,532 ahli telah mendapatkan khidmat tersebut, katanya kepada Bernama dalam satu temu bual.

Setakat ini, terdapat sejumlah 6.88 juta ahli KWSP yang aktif di seluruh negara.

Mogana berkata bagi ahli KWSP yang berumur 35 tahun ke bawah, khidmat nasihat yang diberikan pegawai RAS lebih bertumpu kepada perancangan kewangan serta sasaran simpanan menjelang umur persaraan.

Manakala, bagi ahli yang berumur melebihi 35 tahun, khidmat nasihat lebih bertumpu kepada pengurusan simpanan persaraan agar mampu bertahan lama serta boleh membiayai kos sara hidup selepas bersara.

Orang ramai terutamanya pencarum KWSP digalakkan untuk memanfaatkan khidmat RAS yang diberikan secara percuma itu bagi memastikan kehidupan yang lebih selesa selepas bersara.

Selain RAS, ahli KWSP juga boleh mendapatkan khidmat nasihat lain berkaitan pengurusan simpanan persaraan, produk KWSP dan perancangan kewangan. - BERNAMA