KUALA LUMPUR, 24 JAN - Malaysia berdepan tugas berat selepas diundi bersama pasukan ranking lebih tinggi di pusingan akhir kelayakan bola sepak Piala Asia 2019 dalam undian yang dibuat di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Isnin.

Dalam undian yang dikendalikan Pengarah Eksekutif Bahagian Pertandingan Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Shin Man Gil serta disiarkan secara langsung menerusi saluran Youtube AFC, Malaysia diundi dalam Kumpulan B.

Skuad Harimau Malaysia yang menduduki ranking ke-161, diundi bersama Lebanon (148), Hong Kong (140) dan Korea Utara (125).

Perlawanan liga sepusingan peringkat kumpulan akan dilangsungkan dari 28 Mac 2017 hingga 27 Mac 2018 dengan dua pasukan terbaik daripada setiap enam kumpulan akan mara ke pusingan akhir.

Mereka akan menyertai 12 pasukan yang telah melayakkan diri menerusi pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 serta pusingan kedua kelayakan Piala Asia.

Negara yang telah layak adalah juara bertahan, Australia, China, Iraq, Iran, Jepun, Korea Selatan, Qatar, Arab Saudi, Syria, Thailand, Uzbekistan dan juga tuan rumah, UAE.

Majlis sama turut memperkenalkan logo rasmi kejohanan yang berbentuk tujuh segi enam yang masing-masing mewakili tujuh negeri dalam UAE yang bersatu sejak 45 tahun lepas.

Sebagai rekod, Malaysia pernah mara ke pusingan akhir Piala Asia sebanyak dua kali iaitu 1976 dan 1980 selain menjadi tuan rumah bersama pada 2007 dengan Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Keputusan undian:

Kumpulan A: Kyrgyzstan, India, Myanmar, Macau
Kumpulan B: Korea Utara, Hong Kong, Lebanon, MALAYSIA
Kumpulan C: Jordan, Vietnam, Afghanistan, Kemboja
Kumpulan D: Oman, Palestin, Maldives, Bhutan
Kumpulan E: Bahrain, Turkmenistan, Taiwan, Singapura
Kumpulan F: Filipina, Tajikistan, Yemen, Nepal. 

- BERNAMA