KUALA LUMPUR: Bekas Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA), Tan Sri Annuar Musa memberitahu kemenangan Mohd Faiz Subri di Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 disifatkan sebagai pengubat luka kepada prestasi bola sepak negara yang agak hambar buat masa ini.

Beliau berkata kejayaan penyerang Pulau Pinang itu juga dapat menjadi suntikan semangat kepada pemain bola sepak tempatan lain.

"Saya rasa dengan kemenangan Mohd Faiz, ia dapat mengharumkan nama negara dan menjadi 'panadol' kepada prestasi bola sepak negara yang berada pada ranking terlalu jauh.

"Ini satu pencapaian yang baik dan saya harap ia dapat melonjak semangat pemain-pemain bola sepak profesional yang lain.

"Ini membuktikan bahawa sesuatu itu adalah tidak mustahil serta boleh dicapai bukan sahaja oleh Faiz. Pemain-pemain bola sepak yang lain mesti bersikap profesional dan melakukan yang terbaik, bukan saja hari-hari sibuk soal nak gaji tinggi tetapi usaha tingkatkan prestasi."katanya kepada Astro Awani di Ibu Pejabat MARA, sebentar tadi.

Mohd Faiz dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016 dalam satu majlis di Zurich, Switzerland awal pagi tadi waktu Malaysia bagi jaringan tercantik menerusi sepakan percuma ketika perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada saingan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.


Sumber: Astro Awani