KUALA LUMPUR, 10 Jan - Kejayaan Mohd Faiz Subri meraih Anugerah Puskas Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) 2016 memberi inspirasi kepada pemain bola sepak negara, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kejayaan yang dicipta penyerang Pulau Pinang itu melalui hasil keunikan sepakan percuma, pada majlis gilang-gemilang di Zurich, Isnin (awal pagi Selasa di Malaysia) juga mengharumkan nama Malaysia.

"Tahniah Faiz Subri! Kejayaan anda dlm #FIFAPuskasAward 2016 akan beri inspirasi kepada semua pemain bola sepak Malaysia dan juga harumkan nama negara!," katanya dalam laman Facebook dan Twitternya hari Selasa.

Jaringan menarik Mohd Faiz itu menerima undian sebanyak 59.46 peratus mengalahkan dua lagi calon - Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil yang mendapat 22.86 peratus dan pemain wanita, Daniuska Rodriguez dari Venezuela, 10.01 peratus.

Mohd Faiz menerima anugerah tersebut daripada bekas penyerang sensasi Brazil, Ronaldo.

Gol tercantik dunia oleh Mohd Faiz itu adalah melalui sepakan percuma semasa perlawanan Pulau Pinang menentang Pahang pada perlawanan Liga Super, 16 Feb tahun lepas.

Pemain kelahiran Ayer Hitam, Kedah itu juga mencipta sejarah sebagai pemain Asia pertama dikurniakan anugerah sempena nama legenda bola sepak Hungary, Ferenc Puska, yang menikmati kejayaan hebat bersama pasukan Real Madrid pada 1950-an dan 60-an serta bersama pasukan kebangsaan negara beliau.

Sumber : BERNAMA