Pulau Pinang - Institut Seni Malaysia Melaka (Ismma) berharap Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dapat merayu kepada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk membenarkan Mohd. Faiz Subri memakai baju Melayu di dalam majlis anugerah Puskas yang akan datang.

Menurut Pengerusinya, Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar berkata, Maj­lis Anugerah Puskas merupakan acara berprestij dan diikuti masyarakat seluruh dunia, sekali gus merupakan platform terbaik menonjolkan keunikan seni budaya masyarakat Melayu di sana.

Sementara itu, Mohd. Faiz sendiri sebelum ini menyatakan hasrat mengenakan pakaian itu dan berucap dalam bahasa Melayu sekiranya dipilih menerima anugerah tersebut yang disifatkan sebagai semangat jati diri yang tinggi dalam generasi muda.

“Sebab itu jugalah kita menghadiahkan baju Melayu yang lengkap dengan tanjak atau tengkolok serta songket buatan istimewa dari Melaka kepada Mohd. Faiz dengan harapan beliau boleh memakainya dalam majlis itu minggu depan kata Tan Sri Dr. Abdul Latiff lagi. Beliau berkata demikian dalam majlis penyerahan sumbangan baju Melayu yang bernilai kira-kira RM3,000 kepada Mohd. Faiz di Bayan Baru.

Mohd. Faiz yang melahirkan rasa terharu dengan sumbangan ber­kenaan berkata dia tetap menaruh harapan dapat menghadiri majlis berkenaan dengan berpakaian Melayu meskipun menyedari harus menghormati protokol yang ditetapkan oleh penganjur.

Berkongsi perasaannya menjelang anugerah yang akan diadakan pada 9 Januari ini, dia mengakui, semakin berdebar-debar dan dalam masa sama teruja dengan pengalaman yang bakal dilaluinya.

Kata Mohd. Faiz lagi, dia tidak menaruh harapan tinggi untuk di­pilih menerima anugerah tersebut kerana menyifatkan tersenarai antara tiga calon akhir juga adalah kejayaan buatnya serta negara.

“Tidak pernah sesekali saya bermimpi untuk berada bersama barisan pemain bola sepak ternama dari seluruh dunia pada maj­lis itu dan pengalaman ini amat berharga,” katanya.