KLANG, 19 JAN - Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad didenda RM2,900 oleh Mahkamah Rendah Syariah Klang di sini, hari ini selepas didapati bersalah mengajar Islam tanpa tauliah di surau di daerah ini, enam tahun lalu.

Menurut laporan HMetro, Hakim Syarie Mohd Hairuddin Ab Rahim memutuskan demikian selepas berpuas hati dengan hujahan pihak pendakwaan dan turut mempertimbangkan rayuan pembelaan secara keseluruhan.

Khalid didakwa mengajar Islam tanpa tauliah itu surau TamanSeri Sementa, Kapar di sini, antara 10 malam hingga 11.30 malam 16 Ogos 2011.

Justeru, dia melakukan kesalahan mengikut Seksyen 119 (1) Enakmen Pentadbiran Agama Islam Selangor 2003 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM3,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Syarie Selangor, Abdul Shukor Abdul Hamid dan Muhamad Rafizam Ahmad Supian, manakala Khalid yang juga Pengarah Komunikasi Parti Amanah diwakili peguam Syarie, Dr Zulqarnain Lukman.

Hairuddin turut memerintahkan hukuman penjara tiga bulan sekiranya tertuduh gagal membayar denda itu.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen, Khalid berkata, beliau akan memfailkan rayuan mengenai hukuman di Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, esok.