KUALA LUMPUR, 17 Jan - Seorang juruwang sebuah pasar raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan rompak berkumpulan menggunakan sebatang besi terhadap seorang pelajar warga Bangladesh.

Muhamad Hazlie Sapardi, 22, didakwa bersama-sama individu yang masih bebas melakukan rompak berkumpulan terhadap Shawon Mehedi Hasan, 20, dan merompak wang tunai berjumlah RM500.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di Plaza 393, Jalan Peel, Cheras, di sini, pada 5.30 petang, 9 Januari lepas mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal tidak menawarkan jaminan dengan alasan kes itu adalah serius dan semakin menular di Lembah Klang.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu mahkamah memberikan jaminan yang rendah memandangkan dia berasal dari keluarga susah dan baru dua minggu bekerja di Kuala Lumpur.

Hakim Azman Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri dua kali sebulan di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah menetapkan 17 Februari untuk sebutan semula kes. - BERNAMA