KUALA LUMPUR: Susulan langkah baharu yang mensyaratkan majikan membayar levi pekerja asing berkuat kuasa pada 1 Jan 2017, Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan.

Beliau memberitahu surat serta dokumen rasmi berhubung perkara itu akan diserahkan kepada Perdana Menteri pada Selasa.

Jelasnya, hampir semua industri tidak berpuas hati kerana kerajaan tidak membincangkan dasar itu terlebih dahulu sebelum ia dikuatkuasakan.

"Dasar ini merupakan satu kejutan kerana kami tidak lihat bagaimana ia boleh memberi sebarang manfaat kepada ekonomi. Ia (juga) tidak mesra perniagaan manakala pengumumannya pula dibuat dalam masa sehari tanpa melibatkan penggiat industri (terlebih dahulu) serta tiada sebarang tempoh penangguhan yang diberikan.

"Kami tidak bersetuju dengan dasar ini kerana kosnya bukan sahaja ditanggung oleh kami sebagai majikan, tetapi juga para pengguna," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat bersama 159 penggiat industri di sini, pada Selasa.

Pada 31 Disember lepas, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan majikan bertanggungjawab sepenuhnya untuk membayar levi pekerja asing berkuat kuasa 1 Jan 2017 di bawah Komitmen Mandatori Majikan (EMC).

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata EMC bertujuan memastikan majikan bertanggungjawab sepenuhnya terhadap pekerja asing yang digaji bermula daripada peringkat permohonan, penggajian dan sehinggalah pekerja asing tersebut dihantar pulang ke negara asal.


Sumber: Bernama