ALOR GAJAH: Ketua Pergerakan Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata pergerakan pimpinannya akan fokus pada aturan agenda dan strategi dalam mengukuhkan lagi barisan di semua peringkat sehingga akar umbi bagi enam bulan pertama tahun ini.

Menurut beliau, perjumpaan dengan semua kepimpinan sebagai persediaan menghadapi pilihan raya umum ke-14 akan datang.

"Saya melihat tempoh enam bulan pertama ini cukup penting bagi merancang gerak kerja pada setiap peringkat agar apa yang kita lakukan untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang tidak sia-sia.

"Lagipun adalah penting untuk menyelesaikan segala masalah sekiranya ada, kerana setiap daripada anggota Puteri tidak boleh bekerja bersendirian dan kita juga memerlukan bantuan dan sokongan sayap UMNO yang lain bagi memperkukuh gerak kerja parti," katanya selepas merasmikan Program Hari Keluarga 'Utamakan Keluarga' anjuran Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Masjid Tanah.

Mengulas lanjut, Mas Ermieyati berkata anggota Puteri perlu mencontohi Wanita UMNO kerana mereka tidak jemu menabur bakti dan terus bekerja keras membantu Barisan Nasional (BN) memperjuangkan agenda parti.

"Kita lihat kesungguhan dan komitmen yang diberikan Wanita seolah-olah mereka baru berusia 20 tahun... bekerja kuat tanpa mengira masa dan ini adalah pengorbanan yang perlu dicontohi Puteri," katanya.

Beliau berkata Puteri dan Wanita turut bergerak seiring dan saling melengkapi dalam membantu parti mendekati dan membantu rakyat dan mendaftarkan mereka sebagai pengundi.


Sumber: Bernama