KUALA LUMPUR - Dato Seri Najib Tun Razak berhak bercuti atas kedudukannya sebagai ketua negara yang sememangnya memerlukan masa istirahat secukupnya, kata Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.

"Jadi, kenapa ada orang sakit hati apabila mendapat tahu Najib pergi bercuti bersama keluarga, sedangkan percutian adalah perlkara lumrah," katanya.

Menurut beliau, Perdana Menteri juga seperti pemimpin lain atau kakitangan kerajaan yang mempunyai waktu untuk bercuti termasuk bersama keluarga.

"Kenapa tidak ada pula orang bertanya dan ambil tahu betapa Najib telah bekerja tanpa mengira waktu dan masa untuk membangunkan negara dan rakyat,? soalnya.

"Ada ke yang bertanya atau melahirkan rasa simpati terhadap Najib yang siang malam bekerja memikirkan bagaimana untuk memakmurkan rakyat termasuk masa depan orang Melayu.

Jadi kata beliau, apabila ada perkhabaran mengatakan Najib telah pergi bercuti bersama keluarga bukan sesuatu isu yang perlu dipertikaikan.

Lagi pun ujar beliau, seandainya Perdana Menteri bercuti, pentadbiran negara tidak akan terjejas kerana beliau masih mempunyai Timbalan Perdana Menteri dan barisan jemaah menteri.

"Perdana Menteri juga ada masa untuk berehat, tetapi sejak saya kenali beliau sekain lama, Najib jarang memgambil cuti, sebaliknya lebih 24 jam bertungkus lumus bekerja sama ada untuk negara dan parti (UMNO)," tegasnya.

Syed Ali kesal kerana berita percutian Najib bersama keluarga di Australia telah diputarbelitkan menjadi isu politik termasuk penggunaan jet kerajaan.

Katanya lagi, tidak salah bagi mana-mana Perdana Menteri atau ketua kerajaan menggunakan pesawat khas untuk bercuti.

Menurut beliau, ianya bukan satu larangan bagi Perdana Menteri menggunakan kemudahan tersebut.

Isu Perdana Menteri bercuti telah diviralkan menerusi media sosial yang cuba memberi gambaran buruk seolah-olah menjadi satu kesalahan besar kepada Najib untuk pergi bercuti.

Justeru, beliau yang juga Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Wilayah Persekutuan menyifatkan usaha pihak tertentu memanipulasikan isu tersebut sebagai golongan yang sudah bankrap politik.

Dalam masa yang sama, Syed Ali menyifatkan sebagai tidak wajar apabila ada sesetengah pihak sengaja 'membongkar' kegiatan perniagaan membabitkan anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, walaupun berbeza fahaman politik tidak bermakna sengaja berbuat demikian untuk mencari kesilapan bagi dijadikan modal politik.

"Pada hemat saya, jika perniagaan itu bergerak atas landasan undang-undang termasuk syarikat terbabit membayar cukai, ianya tidak boleh dipertikaikan," katanya.

Sebaliknya jelas beliau, jika syarikat anak Dr Mahathir lari daripada membayar cukai, maka adalah wajar pihak berkuasa mengambil tindakan.

Ditanya sejauhmana kekuatan pakatan pembangkang dengan sokongan Dr Mahathir untuk menumbangkan UMNO pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, Syed Ali berkata UMNO sudah biasa dengan situasi sedemikian.

"Dulu masa Anwar Ibrahim (Datuk Seri) pun kita sudah hadapi, tidak ada masalah. Apa pun UMNO telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan," tegasnya.

SUMBER : UMNO BAHAGIAN CHERAS BLOG