KUALA LUMPUR, 27 JAN - Persatuan Cinta Gaza Malaysia yang dipelopori Nadir al-Nuri masih giat meneruskan perjuangan dengan mengumpul dana bagi membina semula kawasan di Jalur Gaza.

"Gaza dalam keadaan baik, cuma tidak ada apa-apa perubahan sejak tamat peperangan. Ribuan penduduk masih memerlukan bantuan kerana tinggal di kem-kem sementara, khususnya di musim sejuk," pengasasnya Nadir al-Nuri memberitahu Bernama melalui whatssap dari Gaza.

Nadir merupakan satu-satunya warga Malaysia yang menerima pendidikan di Islamic University of Gaza mengahwini balu pejuang Palestin yang mempunyai lima orang anak.
Semasa di Malaysia, anak tirinya Na'im Ashraf Musytaha turut mengikuti ceramah kesedaran dan memupuk cintai Gaza yang memerlukan bantuan dan doa masyarakat Islam.

Semasa sesi tersebut, Na'im berkongsi pengalaman mengenai kehidupan di Gaza serta ayah yang disanjungi dan disayangi beliau, Brigades Izzuddin al-Qassam, yang ditembak mati semasa berjuang menentang tentera Israel.

SEMPADAN RAFAH

"Perkembangan yang ada ialah sempadan Rafah yang semakin kerap dibuka, tetapi bukan dengan sebab budi bicara Mesir, tetapi lebih kepada sebab pertelingkahan politik dalaman di Palestin," kata Nadir.

"Buktinya ialah tindakan Mesir yang menolak untuk diluluskan resolusi Majlis Keamanan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk menghentikan pembinaan penempatan haram di tanah Palestin yang dijajah.

Bagaimanapun, resolusi tersebut akhirnya diluluskan dengan nisbah 14:0 dengan Malaysia menjadi salah satu anggota majlis yang menggesa resolusi tersebut diluluskan," tambah beliau.

Menurutnya, Persatuan Cinta Gaza Malaysia giat mengumpul dana melalui dua projek untuk masyarakat yang terletak di Gaza, khususnya di kawasan Sha'af dan Shijaiyyah di Gaza Tengah.

Di bawah projek pertama, iaitu 'Aid For Education', persatuan memerlukan AS$3,770 (AS$1=RM4.42) untuk Darul Arqam Sha'af dan Darul Arqam Mahattoh, Madrasah Tuffah dan Madrasah Dalal Al-Moghrabi.

SYEIKH AHMAD YASSIN

Menurut Nadir, secara purata, setiap sekolah mempunyai 1,000 orang pelajar. Darul Arqam Sha'af dan Darul Arqam Mahattoh diasaskan oleh Syeikh Ahmad Yassin untuk anak-anak syatim Syuhada'.

Sementara Madrah Tuffah dan Madrasah Dalal Al-Moghrabi dimiliki kerajaan Palestin yang dikhususkan untuk pelajar perempuan, katanya. Sebanyak AS$5,500 diperlukan untuk projek kedua, 'Aid For Winter' yang meliputi bantuan musim sejuk di Gaza dan Khan Younis.

Kedua-dua projek tersebut merupakan program penutup 2016, katanya. Persatuan menerima hanya RM4,000 hasil sumbangan rakyat Malaysia sejak pertengahan Disember hingga akhir tahun.

Menurut laporan media, jumlah penduduk Gaza mencecah sekitar dua juta orang. Jalur Gaza yang memiliki keluasan keseluruhan 360 kilometer persegi, ditetapkan sebagai salah satu wilayah terpadat di Timur Tengah dengan 4,661 orang mendiami setiap 1 kilometer persegi tanah.

Sumbangan boleh dibuat melalui akaun rasmi NGO, Maybank 5648 1050 7826 (Persatuan Cinta Gaza Malaysia) dan hantarkan maklumat sumbangan ke whatssap Nadir Gaza (+60197095092) - BERNAMA