MELAKA, 25 JAN - Melaka dijangka menerima peningkatan kedatangan pelancong dari negara China kira-kira 10 peratus sehari sepanjang cuti sambutan Tahun Baharu Cina.

Pengarah Pejabat Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia negeri Melaka Jeffri Munir berkata secara purata, Melaka menerima anggaran jumlah kedatangan pelancong dari republik itu kira-kira 5,000 sehari pada hari biasa.

Katanya kebanyakan pelancong dari China datang ke Melaka selepas singgah di Kuala Lumpur untuk menyambut perayaan itu.

Peningkatan kedatangan pelancong dari China turut memberi kesan positif kepada industri perhotelan, pemandu pelancong, kereta sewa dan bas pelancongan di Melaka, katanya kepada Bernama.

"Pelancong China yang datang ke Melaka biasanya diuruskan ejen syarikat pelancongan di Kuala Lumpur yang kemudiannya berurusan dengan ejen di negeri ini untuk perjalanan dan pakej pelancongan.

"Mereka biasanya datang secara berkumpulan dan akan melawat ke tempat pelancongan seperti di Perigi Hang Li Po, tokong yang menjadi tumpuan masyarakat Cina tempatan, muzium yang ada kaitan dengan sejarah Melaka-China dan restoran yang menghidangkan pelbagai jenis makanan masyarakat Tionghua," katanya.

Jeffri berkata antara faktor tarikan kedatangan pelancong berkenaan ke Melaka termasuk persamaan budaya, keistimewaan makanan masyarakat Cina tempatan, status Melaka sebagai bandar warisan dunia.

Sementara itu, Presiden Dewan Perdagangan Malaysia-China cawangan Melaka Datuk Lim Kok Ann berkata antara tumpuan lokasi pelancong China yang berkunjung ke Melaka sepanjang sambutan Tahun Baharu Cina ialah Jonker Walk berikutan kemeriahan sambutan berkenaan di destinasi pelancongan itu.

"Sambutan Tahun Baharu Cina di Melaka lebih meriah berbanding negeri lain terutama di Jonker Walk. Banyak kain merah dan tanglung dipasang di sepanjang kawasan itu dan keadaan itu menaikkan semangat untuk meraikan Tahun Baharu Cina," katanya.

Lim berkata Melaka turut menjadi tumpuan pelancong China sepanjang tempoh tersebut kerana hubungan dua hala sedia ada antara Malaysia-China terutama dalam bidang perdagangan dan pelancongan.

Katanya pengecualian visa atau kemudahan ENTRI (Pendaftaran pelancongan elektronik) juga menarik kedatangan pelancong China ke negara ini khususnya ke Melaka.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Hotel Melayu Melaka Datuk Nur Sahar Osman berkata berdasarkan maklumat yang diterima, semua pusat penginapan di negeri ini kecuali inap desa telah menerima tempahan penuh bermula hari ini sehingga 30 Januari.

"Berdasarkan maklumat awal, 50 peratus daripada jumlah pelancong yang menginap di pusat penginapan khususnya hotel adalah dari China. Melaka dijangka mengalami kesesakan kedatangan pelancong dalam tempoh seminggu ini," katanya. - BERNAMA