JOHOR BAHRU, 27 JAN - Sebanyak 6,852 orang daripada 1,989 keluarga masih ditempatkan di 69 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor, setakat 8 pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Dan Alam Sekitar negeri Datuk Ayub Rahmat berkata kesemua mangsa terlibat adalah dari daerah Segamat, Tangkak, Kluang dan Muar.

Beliau berkata Segamat masih mencatatkan bilangan mangsa paling ramai iaitu sebanyak 4,928 orang daripada 1,464 keluarga di 50 PPS.

"Tangkak pula mencatatkan jumlah mangsa seramai 1,490 orang daripada 401 keluarga yang ditempatkan di 12 PPS," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Katanya di Muar, lima pusat penempatan masih dibuka yang menempatkan 415 mangsa daripada 118 keluarga manakala Kluang pula mencatatkan 19 mangsa daripada enam keluarga yang ditempatkan di dua PPS.

Ayub berkata dua buah sekolah masih ditutup iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Felcra Bukit Kepong dan Sekolah Kebangsaan Kampung Tengah di Segamat.

"Sehingga kini, bencana banjir ini telah meragut dua nyawa iaitu seorang lelaki berusia 21 tahun dan seorang warga emas berusia 58 tahun," katanya. - BERNAMA