TANAH MERAH 25 JAN - Lima ekor kura-kura jenis Bintang Burma dianggar bernilai RM50,000, antara rampasan dalam 'Operasi Mandarin' sempena Tahun Baharu Cina yang dijalankan di Bukit Bunga, di sini malam tadi.

Aksem rampas 5 ekor kura-kura Bintang Burma bernilai RM50,000Komander Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) Kelantan, Mohd Asri Yahya berkata, kura-kura yang dipercayai berasal dari Myanmar dan disyaki diseludup ke negara ini untuk dijadikan haiwan peliharaan, ditemukan dalam pemeriksaan ke atas sebuah bas ekspres dari Kuala Terengganu ke Alor Setar.

"Ketika pemeriksaan dilakukan di dalam bas berkenaan, pihak kami menemui satu kotak limau mandarin mengandungi lima ekor kura-kura Bintang Burma, tiada permit peliharaan dan tiada orang yang mengaku memiliki kura-kura tersebut," katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Mohd Asri berkata, kes tersebut diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Lapan agensi penguatkuasaan terlibat dalam operasi itu yang diadakan di Stesen Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Bukit Bunga selama lima jam bermula 10 malam tadi.

Selain AKSEM dan JPJ, agensi lain ialah Jabatan Imigresen; Jabatan Kastam Diraja Malaysia; Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Perhilitan dan Jabatan Farmasi.

Mohd Asri berkata, turut dirampas dalam operasi berkenaan ialah empat produk kosmetik yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan bernilai RM65,500.

Pihak berkuasa turut menahan enam pendatang asing tanpa izin iaitu tiga warga Bangladesh, dua rakyat Vietnam dan seorang warga Indonesia.

"AADK pula menahan dua lelaki berumur 25 dan 40 tahun disyaki positif dadah manakala JPJ mengeluarkan 10 saman kepada pengguna jalan raya kerana kenderaan membawa muatan melebihi had ditetapkan dan tiada lesen memandu," katanya. - BERNAMA